Sunday, 9 February 2014

Selamat pagi, Cikgu :)

Dua minggu dah bergelar cikgu praktikal. Alhamdulillah. Semakin meniti ungkapan "cikgu" di bibir anak murid. Aku tegaskan kepada mereka. Panggil aku "cikgu". Bukan "cik". Bukan "teacher".

Mereka bukan anak murid aku yang pertama. Sebelum ni aku pernah bergelar "cikgu" dan "ustazah" (ustazah rock mungkin). Tapi, dulu lain. Dulu sekolah rendah. Sekolah kampung. Yang mana tiap kali waktu rehat, ada pelajar yang datang cari aku di bilik guru dan ajak bermain sekali. Rata-rata pergi pulang ke sekolah mengayuh basikal. Sebelum balik, lambai cikgu dan cuba saing kereta cikgu walaupun mereka akhirnya tertinggal di belakang.

Sekarang aku di sekolah menengah. Semua sudah besar. Anak bandar. Moden. Lain latarnya dengan sekolah yang dulu aku berkhidmat. Pergi pulang dijemput. Berkenderaan mewah. Bahasa Melayu tu jadi bahasa picisan. Cikgu belum pulang, anak murid dah hilang.

Mungkin sebab tu, pada peringkat permulaan, tekanan itu maha dahsyat aku rasa. Terfikir untuk mengalah. AKU TAKNAK JADI CIKGU. Ya. Pernah aku berfikir begitu.

Bila tenang, aku renung balik. Jadi CIKGU itu memang cita-cita aku. Walaupun pernah berangan nak jadi penyampai berita, pernah berangan nak jadi pegawai forensik, tapi Allah tak tunjukkan jalan ke situ. Jalan menjadi cikgu juga Allah gerakkan kaki dan hati aku.

Renung lagi. Kenapa aku di sini? Saat harapan dah hampir putus lepas SPM dulu. Aku nekad tak mahu belajar. Emak sikit pun tak bantah aku. Cuma ayat dia yang buat aku berfikir, "Takpe lah. Kerja lah dulu. Nanti boleh sambung balik bila-bila masa"

Aku lihat harapan dia di situ. Betapa dia nak aku sambung belajar lagi. Lalu aku korbankan hasrat memburu pekerjaan. Aku masuk tingkatan enam. Orang kata, masuk tingkatan enam tu kolot. Tak glemer. AKU PEDULI APA?

Lepas tingkatan enam, aku dapat tawaran ke USM. Kursus pendidikan. Aku tahu mak gembira. Ayat yang aku takkan boleh lupa, beberapa hari sebelum nak daftar masuk, mak cakap "Mak tak sangka mak boleh lahirkan seorang cikgu"

Jadi, kenapa perlu mengalah sekarang. Kan?

Cikgu aku yang hampir 8 tahun mengajar pun kata, dia sendiri kadangkala tertekan dengan bebanan kerja. Tapi lepas tu, dia tanya pada diri. "Kalau aku tak mengajar, aku nak buat apa?" Aku fikir. Betul juga.

Aku juga diajukan soalan. "Yakin ke ini jalan hidup yang kau akan tempuh sampai tua? Ini ke pekerjaan yang kau akan buat sampai pencen?"

Mula-mula dulu, aku jawab "TIDAK". Tapi lepas waras sikit, aku jawab "YA. INI PILIHAN AKU". Fikirkan......
...taknak ke capai cita-cita sendiri?
...kalau tak jadi cikgu, nak jadi apa?
...semua kerja ada tekanan. Ada kerja yang takde tekanan ke dalam dunia ni?
...kalau ikhlaskan hati, menggunung pahala didik anak bangsa. Taknak ke saham akhirat?
...taknak ke gembirakan mak abah saat orang tanya "anak kerja apa?". "CIKGU"

Tabah. Pelajar sekarang bukan macam dulu. Zaman dulu mak ayah serah rotan bagi cikgu besit anak. Zaman sekarang, mak ayah serah surat aduan dekat pihak atasan gara-gara cikgu denda anak buat ketuk ketampi. Eh, cikgu memang pun suka denda anak murid tak bertempat kan? Kalau anak awak tak salah, GILAKAH seorang guru nak mendenda tak bertempat?

Seorang guru tak minta dibalas dengan intan permata. Cukup sekadar pelajar belajar untuk menghargai. Suruh bukak buku, bukak. Bukannya suruh bukak buku, awak bukak mulut, atau bukak pintu belakang, keluar kira rumput di padang.

Aku manusia. Terkadang tak lepas dari keluhan. Moga aku bertambah tabah. Demi diri sendiri. Demi mak. Demi abah. Demi adik-adik. Demi masa depan.

Terima kasih Allah untuk setiap dugaan. Ia mematangkan aku. Ia menguatkan aku :)

No comments:

Post a Comment